Wednesday, April 2, 2008

Benarkah kita mencintai dan menjadikan Nabi s.a.w sebagai ikutan

Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Mar 21, 08 | 3:42:23 pm MYT

Pertama kali diucapkan selamat menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w kepada semua kaum muslimin dan muslimat, semoga sambutan kali ini memberi nafas baru kepada kita untuk menjadikan segenap ajaran baginda inspirasi menuju kecemerlangan hakiki.

Namun apa yang perlu diutarakan kepada sidang pembaca setia harakahdaily.net, ialah satu persoalan yang mungkin tidak terlintas dalam pemikiran kita semua, berhubung kebenaran kecintaan dan ikutan kita terhadap baginda Rasulullah s.a.w

Isu perarakan yang dilakukan pada awal pagi 12 Rabiulawal saban tahun seolah-olah menggambarkan bahawa rakyat Malaysia yang beragama Islam menunjukkan kesungguhan mereka untuk mencintai Rasulullah, tetapi apakah benar mereka mencintai Rasulullah setelah selesai melakukan perarakan?.

Sesungguhnya kecintaan terhadap Rasulullah tidak terhenti pada majlis perarakan, kalau itu yang berlaku, ia bermakna tidak ada perbezaan dengan tindakan Abu Lahab (Pak Cik Nabi) setelah mengetahui bahawa Rasulullah diputerakan, lantas beliau mendakap jasad baginda yang mulia dan membawanya mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan (serupa amalan tawaf mengelilingi Kaabah). Image

Tetapi apa yang terjadi kepada Abu Lahab setelah baginda meningkat dewasa dan dilantik pula menjadi Rasul terakhir, beliaulah orang yang paling keras menentang kebenaran yang dibawa oleh anak saudaranya sendiri.

Inilah yang terjadi kepada kebanyakan umat Islam dalam negara kita, pada waktu pagi berarak, dan di waktu petang hari melakukan tindakan yang menentang Islam dengan penganjuran program maksiat seperti membenarkan konsert Akademi Fantasia 6 disiarkan menerusi Astro dua hari selepas berarak (22 Mac 2008).

Tidakkah golongan seperti ini perlu memerhatikan ayat Allah menerusi surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud: Katakanlah Wahai Muhammad (kepada umatmu) Jika kamu cintakan Allah, maka ikutlah aku, pasti Allah cinta kepada kamu.

Dalam ayat 21 surah al-Ahzab, Allah menegaskan bahawa: Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan ikutan yang baik. Sementara dalam ayat 8 surah as-Soff maksudnya: Dialah (Allah) mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dengannya dapat mengalahkan agama seluruhnya walaupun tindakan baginda itu tidak disukai oleh golongan orang-orang musyrikin.

Apabila kita merujuk kepada ketiga-tiga ayat di atas, yang menganjurkan kepada kita agar mencintai baginda, menjadikan baginda contoh teladan, membawa petunjuk ke jalan kebenaran, dan banyak lagi, tetapi adakah kita telah mengikut saranan ayat-ayat di atas.

Umat hari ini selepas berarak, mereka membenci sunnah-sunnah Nabi, sebagai contoh melantik para pemimpin yang tidak menjalankan hukum-hukum Allah sampai hari ini walaupun negara sudah merdeka lebih lima puluh tahun.

Mereka juga tidak menjadikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai contoh dalam segenap aspek kehidupan sebagai muslim, ini termasuk dalam aspek pentadbiran negara, institusi kewangan, kemasyarakatan, persekitaran dan lain-lain, semuanya diikat dengan sistem Sekularisme, Kapitalisme dan lain-lain.

Malah mereka juga tidak yakin bahawa agama Islam adalah agama yang betul dengan prinsip rukunnya yang lima, hingga mencipta satu agama baru "Islam Hadhari" dengan prinsip yang sepuluh dengan pelbagai alasan.

Dalam Islam, perkataan Islam dan Iman tidak boleh dipisahkan bagaikan aur dengan tebing, jadi kalau ada Islam Hadhari, mestilah juga ada istilah Iman Hadhari, Islam Hadhari diterjemahkan dengan Islam yang bertamadun, ini menunjukkan ada lagi istilah Islam yang tidak bertamadun.

Inilah yang dikatakan bahawa kalau tidak mahu terima Islam sebenar, itu adalah haknya untuk menolak, tetapi jangan sampai mengajak orang ramai (rakyat) menentangnya juga.

Ingatlah apa yang pernah diungkapkan oleh Saidina Omar Bin al-Khattab: "Dulu kami adalah golongan yang hina kerana menolak Islam, kemudian Allah muliakan kami dengan Islam, tetapi apabila jika kami mencari kemuliaan selain daripada Islam, pasti Allah akan timpakan penghinaan atas diri kami". - mns